Daisypath Anniversary tickers

Sunday 18 November 2018

pengukuran dan penilaian


Apakah yang dimaksudkan dengan Pengukuran dan Penilaian?
Pengukuran dan Penilaian dalam sesi kaunseling adalah satu elemen yang sangat penting dalam menjayakan sesi kaunseling. Pengujian secara psikologi bermaksud proses penilaian atau penaksiran yang dibuat ke atas tingkahlaku seseorang individu dengan cara sistematik dan saintifik. Terdapat pelbagai sebab mengapa kita perlu mengukur ciri-ciri psikologikal individu yang mana ia melibatkan pengukuran atribut psikologi seperti ciri personaliti, minat, nilai, kebolehan, pencapaian, kemahiran, sikap dan konsep kendiri.  Pengukuran ialah pemerihalan data menggunakan sistem nombor atau secara tepatnya pengukuran telah didefinasikan sebagai pemberian nombor-nombor kepada objek atau peristiwa berdasarkan kepada beberapa peraturan.(Sidek Mohd Noah, 2005)

Manakala penilaian dilakukan kerana mempunya matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian, ia akan membolehkan kita membuat anggaran, sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya.  Penilaian adalah satu cara untuk mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu perkara yang mana maklumat dan bukti amat penting dalam menyelesaikan sesuatu masalah (Amelia Chin Ying Yeu)

Apakah tujuan ia dilaksanakan?
Menurut Dr. Sapora Sipon (USIM) tujuan penilaian dijalankan adalah kerana mempunyai dua sebab utama. Sebab pertama ialah kerana ia boleh menentukan kemajuan klien dan sebab kedua  kerana ia boleh membantu kaunselor untuk meningkatkan kemahiran dalam melaksanakan kaunseling di masa hadapan. Pada umumnya, terdapat empat tujuan utama kajian psikologi digunakan iaitu penelahan, pemilihan, pengelasan dan penilaian.

Selain itu, Erford (2007) menjelaskan empat tujuan pengukuran iaitu yang pertama adalah penyaringan, yang mana ia adalah satu prosedur yang cepat, selalunya ia melibatkan satu pengukuran sahaja. Tujuan yang kedua adalah diagnostik iaitu satu analisis yang terperinci mengenai kekuatan dan kelemahan individu sebagai satu usaha untuk memahami apa yang berlaku kepada individu tersebut. Manakala tujuan yang ketiga adalah rancangan rawatan dan mengenal pasti matlamat, ia membantu seseorang itu memahami matlamat menghadiri kaunseling disamping mengetahui rancangan rawatan untuk menjayakan sesi kaunsleing yang dijalan. Tujuan yang terakhir adalah kemajuan pemantau yang mana kaunselor bertanggungjawab untuk memastikan rawatan adalah berkesan kepada klien dan tidak membahayakan.

Nyatakan jenis-jenis alat pengukuran dalam kaunseling.
Secara umumnya, terdapat pelbagai bentuk alat pengukuran yang berbeza. Walau bagaimanapun, setiap alat ukuran yang dibentuk dan dibangunkan adalah bertujuan untuk memastikan alat ukuran tersebut mencapai matlamat dan tujuan ianya dibentuk. Setiap alat ukuran lazimnya mempunyai ciri-ciri tertentu seperti ciri-ciri kepiawaian sampel, jenis dan tahap kebolehpercayaan dan kesahan, kebolehan dan kepercayaan ujian lain yang boleh dibandingkan, prosedur pemarkahan, kaedah pentadbiran, batasan, kekuatan, kemahiran mentadbir dan mentafsir ujian berkaitan.

Terdapat beberapa jenis alat pengukuran untuk menjalankan ujian psikologi. Antaranya ialah :
1)      Ujian Kecerdasan iatu mengukur keupayaan seseorang dalam bidang yang umum seperti keupayaan lisan, organisasi atau taakulan persepsi
2)      Ujian Bakat iaitu ujian yang mengukur keupayaan tugas atau jenis kemahiran yang lebih khusus
3)      Ujian Pencapaian yang mana ia mengukur darjah kejayaan seseorang dalam pembelajaran atau kejayaan dalam satu-satu subjek atau tugas.
4)      Ujian kreativiti iaitu ujian menilai keaslian, pemikiran asli dan kemampuan mencari penyelesaian dengan cara yang tidak diduga atau tidak seperti kebiasaan.
5)      Ujian Personaliti iaitu ujian yang mengukur tret, kualiti atau tingkahlaku yang menentukan ciri individu seseorang.
6)      Inventori Minat iaitu mengukur pilihan aktiviti atau topic dan dapat membantu individu menentukan pilihan kerjayanya.
7)      Prosedur Tingkah Laku yang mana ia menjelaskan  tingkah laku, menentukan kekerapannya, mengenalpasti situasi sebelum dan akibat daripada tingkahlaku tersebut secara objektif.
8)      Ujian Neuropsycholical iaitu ujian untuk mengukur prestasi kognitif, sensori, persepsi serta motor untuk menentukan kesan kerosakan otak ke atas lokus dan tingkahlaku.
Alat ujian boleh juga dibahagikan kepada dua kategori besar iaitu ujian kognitif dan ujian yang berkaitan psikologi dan minat. Ujian keupayaan kognitif bertujuan untuk melihat apa yang dapat dilakukan seseorang jika ia berusaha untuk melakukan yang terbaik. Manakala kategori kedua bertujuan untuk melihat apakah yang mungkin dilakukan seseorang dalam keadaan seharian atau biasa.
                                       
Bagaimana  ia dilaksanakan?
Pada umumnya terdapat dua jenis pemboleh ubah  dalam pengukuran ini iaitu jenis kuantitatif dan jenis kategori. Kedua-dua jenis ini boleh diukur dengan menggunakan empat jenis skala yang biasa digunakan iaitu skala nominal, ordinal, sela dan nisbah.

Skala nominal adalah skala yang dianggap paling mudah dan mempunyai ketepatan yang paling rendah sebagai bentuk pengukuran. Skala ini mengkategorikan pemboleh ubah berdasarkan persamaan sererusnya memberikan nama kepada pemboleh ubah tersebut.

Manakala skala ordinal pula ialah data yang menunjukkan urutan atau pangkat. Data disusun  daripada yang rendah kepada yang tinggi

Skala yang ketiga adalah skal jenis sela yang mana ia mempunyai urutan atau pangkat serta anggapan bahawa perbezaan antara sela wujud. Setiap skala tersebut mempunyai jarak yang sama.

Skala yang terakhir adalah skala nisbah. Skala ini mempunyai semua sifat jenis sela dan mempunyai mutlak nolai kosong. Dalam skala nisbah kosong tidak bersifat arbitrari.


RUJUKAN
Sidek Mohd Noah (2005), Pengujian dan Penilaian dalam Kaunseling, Serdang : Universiti Putra Malaysia.
Amelia Chin Ying Yeu. Pengukuran, Pengujian dan Penilaian Pengenalan. Dicapai dari www.academia.edu
Dr. Sapora Sipon. Tujuan dan Matlamat penilaian dalam Kaunseling. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).Dicapai dari https://www.scribd.com
Efford (2007) pengujian dan pengukuran dalam Sapora Sipon dan Hapsah Yusoff(2006) Pengenalan kepada Profesion Kaunseling, edisi kedua (halaman 210) Negeri Semnbilan : Universiti Sains Islam Malaysia.



2 comments:

  1. It is safe to say that you are confronting issues while making a Blockchain account? So as to get to the guide How to make a record on Blockchain,You can connect with the experts who are dependably there to help you.You should simply dial Blockchain Support Number 800-665-6722 and get the ideal and reasonable arrangements from the specialists at all conceivable time. The experts are dependably there to prompt you and convey quality-driven arrangements at whatever point clients ask them.

    ReplyDelete
  2. Mardiana Raus tq information Saya mohon ig share yer tuan utk assignment tq

    ReplyDelete